SELAMAT DATANG

Monday, May 20, 2013

CUTI SEKOLAH...

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera buat semua warga SK Ampang yang dikasihi..

      Minggu peperiksaan telah berakhir dan minggu ini merupakan minggu terakhir persekolahan untuk sesi pertengahan tahun 2013. Bermula hari Jumaat ini murid-murid akan mula bercuti selama dua minggu. Pastinya murid-murid berasa seronok dan tidak sabar untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang telah lama dirancang bersama keluarga. Sekiranya tiada perancangan, pastinya murid-murid akan mengambil peluang cuti ini untuk berehat seketika dengan aktiviti persekolahan. 
       
      Walaubagaimanapun..kepada murid tahun enam, jangan lupa minggu pertama 27/5/2013-31/5/2013 nanti akan diadakan kelas intensif yang telah dirancang khas untuk anda. Guru-guru anda begitu bersemangat untuk mengajar dan memberikan input-input penting dalam memastikan persediaan anda untuk menghadapi UPSR mencukupi. Kepada murid-murid yang lain, walaupun tiada kelas intensif, manfaatkan masa cuti yang ada dengan menyiapkan kerja rumah yang telah dibekalkan oleh guru-guru anda. Sekiranya anda ingin pulang ke kampung, bawa buku anda sekali dan siapkan di kampung. Jangan jadikan alasan terlupa bawa buku atau balik kampung sebagai alasan untuk tidak siap kerja rumah. Jika tidak nanti cikgu akan marah!.
       
        Sebelum cikgu mengakhiri entri kali ini, pesanan cikgu..jaga keselamatan diri anda tidak kira di mana anda berada. Sila jaga kesihatan diri, elakkan bermain hujan dan sekiranya tidak perlu keluar rumah, duduk saja di rumah. Banyak aktiviti berfaedah yang boleh anda lakukan seperti membaca buku/majalah, melayari internet, membantu ibubapa melakukan kerja-kerja rumah dan macam-macam lagi. Hidup anda akan menjadi seronok sekiranya anda sendiri yang pandai mengisi masa dengan melakukan pelbagai aktiviti.

        SELAMAT BERCUTI!!


Thursday, May 16, 2013

SELAMAT HARI GURU!!

SELAMAT HARI GURU BUAT SEMUA GURU-GURU DI SELURUH DUNIA..GURU MALAYSIA 1 AGENDA 1 ASPIRASI..JASA ANDA SANGAT2 DIHARGAI DAN SEMOGA HIDUPMU DIBERKATI SELALU...

Wednesday, May 8, 2013

SELAMAT MAJU JAYA!

Bermula pada hari ini 8/5/2013 hinggalah 14/5/2013 (Selasa minggu hadapan) murid-murid SK Ampang akan menduduki Peperiksaan Pertengahan Tahun. Oleh yang demikian, unit Bimbingan dan Kaunseling serta seluruh warga SK Ampang mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada semua murid SK Ampang. Sila jawab soalan dengan teliti dan berhati-hati. Jaga kesihatan dan keselamatan diri sepanjang minggu peperiksaan ini. Sekali lagi, Selamat Maju Jaya!!

Thursday, May 2, 2013

Buli Dalam Kalangan Pelajar

gambar hiasan


(Petikan ini diperoleh dari blog Konsumerkini)
Sekolah merupakan sebuah institusi yang amat penting bagi sesebuah negara. Di sinilah generasi pemimpin dan peneraju negara pada masa hadapan, dididik dan dibentuk. Begitu juga, institusi sekolah merupakan tempat memupuk dan membentuk jati diri dan semangat patriotisme anak bangsa, di samping berfungsi sebagai tempat pendidikan akademik dan kemahiran. 

Namun begitu laporan-laporan akhbar menunjukkan kes jenayah juvana dalam kalangan pelajar sekolah semakin menjadi-jadi, yang sedikit sebanyak menjejaskan peranan sekolah sebagai pembentuk jati diri dan pendidikan generasi masa hadapan negara.
Kebanyakan masalah jenayah di sekolah bermula dengan masalah buli. Buli merupakan satu bentuk penyalahgunaan melalui perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan untuk menunjukkan kekuatan diri. Buli boleh berlaku dalam bentuk fizikal seperti memukul, memeras ugut, menampar, menendang, menarik rambut atau mencubit. Manakala, buli mental lebih kepada ejek-mengejek, mengusik dan menghina. Secara umumnya perlakuan buli lebih cenderung berlaku dalam kalangan pelajar lelaki, sama ada secara individu atau berkumpulan.
Namun begitu perlakuan buli dalam kalangan pelajar perempuan tidak harus diketepikan, malah ia semakin meningkat. Bermula dengan kes Sherman Mohd Jaafar, 14, yang mengalami kecederaan parah di tengkuk serta belakang badan selepas dibelasah oleh lima orang pelajar seniornya di asrama sebuah sekolah menengah di Tumpat, Kelantan. Baru-baru ini, kes buli di Kuching yang melibatkan lima pelajar perempuan sekolah menengah yang melakukan kekerasan terhadap mangsa secara beramai-ramai telah melahirkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, khususnya para ibu bapa. Keadaan ini menimbulkan suasana yang tidak aman dan selamat di sekolah. 

Sesungguhnya isu buli di sekolah tidak boleh dipandang dengan sebelah mata sahaja. Ia memerlukan komitmen daripada semua pihak, baik guru, ibu bapa atau pelajar itu sendiri bagi memastikan institusi sekolah menjadi gedung ilmu dan bukannya tempat untuk melahirkan samseng. Perbuatan membuli, sama ada untuk berseronok atau kerana benci dan ingin membalas dendam, tidak sewajarnya menjadi budaya yang menunjangi institusi sekolah. 

Pelbagai faktor mempengaruhi seorang pelajar terlibat dalam gejala buli. Antaranya, latar belakang keluarga, rakan sebaya, kurang didikan agama, persekitaran dan budaya sekolah serta media massa. Maka, jelaslah bahawa latar belakang sesebuah keluarga dan persekitaran serta budaya sekolah amat mempengaruhi perkembangan seseorang individu. Ibu bapa perlulah meluangkan masa dan mencurahkan kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak. Ibu bapa perlulah senantiasa peka terhadap pemilihan rakan sebaya oleh anak-anak mereka, mengambil tahu akan setiap aktiviti yang anak-anak mereka terlibat. 

Selain itu, pelajar meluangkan lebih banyak masa di sekolah berbanding di rumah. Guru merupakan ibu dan bapa kepada pelajar di sekolah. Sebagai seorang guru dan ibu bapa kepada pelajar di sekolah, para guru haruslah arif dengan dapat mengesan sebarang tanda-tanda negatif atau perubahan dalam diri seseorang itu. Seumpamanya, melihat gelagat pelajar yang sentiasa periang di sekolah telah berubah identitinya dengan mendiamkan diri dan mengasingkan diri. Ia mungkin memaparkan tanda-tanda seseorang pelajar itu mungkin dibuli atau terlibat dalam sebarang masalah. Justeru, ibu bapa dan guru memainkan peranan yang setanding dalam pembentukkan seseorang individu. Dengan ini,  ia dapat membanteras anak-anak muda pada hari ini daripada terjebak dalam kancah gejala seperti ini. 

Walaupun, semua faktor ini mempengaruhi emosi dan pembentukan seorang individu, namun individu itu sendiri seharusnya menyedari kesan yang akan wujud pada masa akan datang akibat daripada tindak-tanduknya pada hari ini. Mereka juga hendaklah menilai dengan rasional bahawa penglibatan dalam gejala-gejala sosial seperti ini bukan sahaja meningkatkan kadar jenayah di Malaysia tetapi akan menghancurkan segala impian dan kerjaya seorang pelajar. Ini secara tidak langsung memalapkan masa depan pelajar itu sendiri dan mangsa buli. 

KATA-KATA HIKMAT

MOTIVASI