SELAMAT DATANG

Tuesday, July 29, 2008

LAPORAN KEM GEMILANG 2008


Kem Gemilang 2008 merupakan perkemahan tahunan yang diadakan khas untuk pelajar-pelajar tahun 6 Sekolah Kebangsaan Ampang. Perkhemahan ini adalah terbuka untuk pelajar-pelajar tahun 6 Sekolah Kebangsaan Ampang dan diadakan di Kem Impiana Country Resort, Hulu Langat pada 11 hingga 13 Julai 2008. kem ini adalah merupakan kem pemantapan diri yang bertemakan “Membina Generasi Cemerlang” sesuai dengan tema yang diberikan kem ini bertujuan untuk memantapkan pelajar-pelajar ini dari segi rohani dan jasmani di mana aktiviti-aktivi yang dilaksanakan adalah seimbang dengan perkara-perkara tersebut.

Objektif kem ini ialah untuk kecemerlangan murid-muri di dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan dijalankan tidak lama lagi. Selain itu juga kem ini bertujuan sebagai persiapan mental pelajar-pelajar ini untuk menghadapi UPSR. Di dalam kem ini juga diterapkan sebagai persediaan murid ke alam awal remaja dan juga sebagai persiapan untuk ke peringkat sekolah menengah. Objektif lain kem ini ialah untuk mendorong murid-murid ke arah rasa sayang dan hormat kepada ibu bapa dan guru. Kem Gemilang ini juga ada menerapkan aktiviti-aktiviti yang mempersiapkan fizikal dan mental bagi menghadapai sesuatu keadaan yang mencabar.

CERAMAH BIMBINGAN PEMAKANAN SEIMBANG UNTUK MURID-MURID TAHUN 5 & 4

Tarikh :7 & 8 Julai 2008
Nama Program : Jom Diet…!!!
Penceramah : Norfaziela Binti Mohd Mokhtarudin
Hairul Nizam Bin Tahak
(guru pelatih bimbingan dan kaunseling)

Masa : 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari (Isnin),
10.00 pagi hingga 12.30 tengahari (Selasa).

Tempat : Dewan Sekolah Kebangsaan Ampang, Selangor Darul Ehsan
Objektif : Memberikan bimbingan dan penerangan dari segi definisi
pemakanan seimbang, jenis-jenis kelompok makanan seimbang,
fungsi-fungsinya, kesan pemakanan tidak seimbang dan cara
pengambilan makanan yang betul.






Kursus Kepimpinan "Kem Jati Diri Etiket Dalam Kepimpinan"

Kursus Kepimpinan Pelajar diadakan pada bulan Februari adalah untuk memberi pendedahan awal kepada pemimpin pelajar Tahun 3 dan 6 mencorak kepimpinan yang cemerlang disamping memantapkan diri mereka dengan disiplin diri yang tinggi, lebih berkeyakinan terhadap sesuatu yang positif cuba dipelajari dan mampu bekerjasama di dalam kumpulan.

Kem yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan & Kaunseling dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Murid dan Unit Disiplin & Pengawas telah menjemput Encik Ahmad Badrul Sani dan rakan-rakan dari Speak Out Training & Mangement Services. Encik Ahmad Badrul Sani yang lebih mesra dengan panggilan Abang Bad merupakan penceramah motivasi yang terkenal dan telah banyak menyampaikan ceramah di sekolah rendah dan menengah. Dalam kem ini beliau telah menyedarkan para peserta peranan dan tugas mereka sebagai pemimpin pelajar di sekolah. Beliau telah cuba menyelam perasaan murid-murid dengan menyelitkan unsur-unsur ketuhanan supaya peserta menjadi pemimpin yang cemerlang duniawi dan ukhrawi.

Selain dari itu, beliau juga menggunakan teknik belajar sambil berhibur membuat murid-murid amat berminat dan memberi perhatian sepenuhnya semasa ceramah dijalankan. Murid-murid diberi pendedahan tips-tips komunikasi yang cemerlang, penampilan diri yang gemilang dan sifat toleransi di dalam kumpulan dalam menjayakan sesuatu perkara.Peserta juga dibimbing menguasai etika yang betul melalui formula K.E.S.A.N.T.U.N.AN.

Perlaksanaan :

Kem Jati Diri Etiket Dalam Kepimpinan diadakan

Tarikh : 19 & 20 Februari 2008

Hari : Selasa & Rabu

Masa : 8.00 pagi hingga 6.00 petang ( Selasa )

8.00 pagi hingga 6.00 petang ( Rabu )

Tempoh Perlaksanaan : 2 hari ( tidak bermalam )

Tempat : Dewan Sek. Keb. Ampang.

Sasaran : Semua pemimpin pelajar Tahun 6 dan Pengawas Tahun 3

Secara keseluruhan Kem Jati Diri Etiket Dalam Kepimpinan ini berjalan dengan lancar serta mendapat kerjasama dari pihak pentadbir terutama GPK HEM dan AJK guru yang menjalankan tugas. Semoga Kem Jati Diri Etiket Dalam Kepimpinan yang bertajuk “Kepimpinan Pelajar Cemerlang Nadi Kegemilangan Sekolah ” dapat memberi manfaat kepada semua pemimpin pelajar yang terlibat agar dapat dipraktikkan dan disemat dalam hati dan fikiran sebagai panduan dimasa akan datang. Semoga para peserta lebih berkeyakinan untuk memimpin dan mampu mengharungi segala cabaran yang mendatang. InsyaAllah, objektif sekolah di dalam melahirkan lebih ramai pemimpin pelajar yang berkaliber dan mempunyai nilai kepimpinan diri yang tinggi akan tercapai.

Program Maju Diri (PMD)

Program Maju Diri (PMD) sekolah rendah adalah satu pendedahan dan pengalaman baru dalam wadah pendidikan sejajar dengan era masa kini. Program ini boleh dimanfaatkan oleh pihak sekolah umumnya dan pelajar khususnya untuk mencari arah dan hala tuju serta mengembangkan potensi yang ada untuk mencapai kecemerlangan dari aspek akademik dan sahsiah. Pendidikan dan kecemerlangan adalah aspek penting yang perlu ditekankan kepada pelajar kerana dengan pendidikan yang sempurna dan seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, dan intelektual dapat melahirkan individu yang boleh berjasa kepada diri, ibubapa, keluarga, dan masyarakat.

Matlamat Program Maju Diri (PMD) adalah untuk melahirkan murid sekolah rendah berwatak dan berwibawa, serta lebih berkemahiran yang dapat meningkatkan potensi diri bagi mencapai kejayaan yang cemerlang.

Setelah murid-murid berpeluang mengikuti dan menjalani sepenuhnya program ini , murid-murid dapat:

  • Mengenal potensi diri dan membina wawasan diri
  • Merasa yakin pada diri sendiri
  • Mengenalpasti dan mempraktikkan salah satu kemahiran belajar yang berkesan.
  • Mengetahui bidang kerjaya yang bakal mereka tempuhi.
  • Mengenal dunia kerjaya sebagai perangsang masa depan.

Perlaksanaan

Semua guru Tahun 4, 5, dan 6 bertindak sebagai fasilitator .

Tarikh : 7 hb – 9 hb Januari 2008

Hari : Isnin , Selasa , dan Rabu

Masa : 8.00 pagi - 12.50 tengahari

Tempat : Kelas masing-masing

Sasaran : Semua murid Tahun 4, 5, dan 6 adalah merupakan

kumpulan sasaran yang terlibat secara langsung

dalam program ini.

Monday, July 28, 2008

KARNIVAL PENDIDIKAN KAUNSELING KERJAYA PERINGKAT DAERAH HULU LANGAT TAHUN 2008



Karnival pendidikan kaunseling kerjaya peringkat daerah hulu Langat ini diadakan pada 1 dan 2 Julai 2008 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Semenyih. Karnival ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah yang bertujuan untuk mencungkil bakat dan potensi murid sekolah rendah dan menengah menyebarkan maklumat kerjaya. Matlamat karnival ini juga adalah bertujuan untuk menyediakan diri dan membina matlamat dalam dunia kerjaya yang sesuai dan selaras dengan kebolehan, minat, pengalaman, kelayakan akademik serta bakat mereka.

Karnival ini membawa tema “sains dan teknologi peneraju wawasan negara” yang mana penekanan lebih diberikan kepada penyebaran maklumat kerjaya dalam bidang sains dan teknologi dan ini membolehkan murid meneroka alam akademik dan mengaitkan proses pendidikan dengan dunia kerjaya yang bakal mereka ceburi kelak.

Karnival ini terbuka penyertaannya kepada semua murid sekolah Menengah dan sekolah rendah seluruh daerah Hulu Langat. Antara acara yang dipertandingkan ialah sketsa kerjaya, melukis kain rentang, folio kerjaya, melukis poster kerjaya, media maklumat kerjaya, ekplorasi alam kerjaya, model kerjaya, kiosk kerjaya, kuiz kerjaya, kad lipat dan kad berangkai.

Sekolah Kebangsaan Ampang juga telah menghantar penyertaan di dalam karnival ini. Antara acara yang telah disertai oleh pelajar-pelajar dari Sekolah Kebangsaan Ampang ialah folio kerjaya, membina model kerjaya, poster kerjaya, kad berangkai kerjaya, kuiz kerjaya dan kad lipat kerjaya. Pelajar dilihat begitu bersemangat dan komitmen dalam menyertai acara-acara yang telah dipertandingkan. Selain itu juga terdapat pelajar-pelajar dari tahun 5 yang turut hadir sebagai penyokong. Ini penting kerana mereka inilah yang akan mewakili sekolah pada tahun hadapan dan mereka ini akan cuba mengambil seberapa banyak pengalaman yang boleh untuk dijadikan panduan ketika mereka mewakili sekolah pada tahun hadapan.

Bilik Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Kebangsaan Ampang.



Bilik Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Kebangsaan Ampang terletak di tingkat 1 di blok B iaitu bersebelahan dengan padang sekolah. Bilik ini merupakan satu bilik bimbingan yang lengkap dengan segala kemudahan. Bilik ini lengkap dengan ruang sesi kaunseling individu dan kelompok disamping terdapat pelbagai bahan seperti koleksi motivasi,rujukan kerjaya dan sebagainya yang boleh menjadi rujukan murid di sekolah ini.


SEKOLAH KEBANGSAAN AMPANG


Sekolah Kebangsaan Ampang telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Mohamed Bin Yaacob pada 15 haribulan September 1973 bersamaan 13 Shaaban 1393. Yang Berhormat Tuan Haji Mohamed Bin Yaacob merupakan Menteri Pelajaran Malaysia pada waktu tersebut.

Kini setelah 35 tahun berlalu, Sekolah Kebangsaan Ampang telah mencapai kemajuannya dan sering menerima anugerah terutama dalam bidang akademik. Sekolah Kebangsaan Ampang mempunyai lebih dari 1000 orang pelajar dan guru-guru sebanyak 74 orang. Sesi persekolahan dijalankan dalam dua sesi iaitu sesi pagi dan juga sesi petang. Sesi pagi sesi persekolahan dijalankan untuk tahap dua iaitu darjah 4,5 dan 6 manakala sesi petang dijalankan untuk tahap satu iaitu darjah 1,2 dan 3.

Di bawah pentadbiran guru besar Puan Zabidah Binti Hashim, mentadbir Sekolah Kebangsaan Ampang dengan misi memberi pendidikan kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Ampang melalui program-program kurikulum dan kokurikulum yang terancang, sistematik dan berkesan. Manakala visi Sekolah Kebangsaan Ampang pula ialah menjadi antara sekolah cemerlang di daerah Hulu Langat menjelang tahun 2010.




KATA-KATA HIKMAT

MOTIVASI